Animasi BoBoiBoy ke persada antarabangsa
GELAGAT comel kanak-kanak mempunyai kuasa super menentang makhluk asing bergelar Adudu yang berkepala botak dalam siri animasi tiga dimensi (3D) BoBoiBoy cukup menghiburkan dan mencuit hati penonton.Kehalusan pergerakan karakter, pencahayaan terperinci dan garapan cerita yang baik menghidupkan lagi watak-watak dalam siri animasi 3D itu sehingga kelihatan bak dalam dunia nyata.
Ia sekali gus menjadikan siri animasi BoBoiBoy setanding hasil karya antarabangsa selain antara pilihan siri animasi kanak-kanak pada hari ini.
Bukan sahaja kanak-kanak kecil teruja menonton kelibat kanak-kanak mempunyai kuasa super itu malah, golongan dewasa juga tidak terkecuali dalam menonton siri animasi hasil garapan sulung Animonsta Studios Sdn. Bhd.
Di sebalik hasil karya yang mempunyai durasi selama 11 minit itu, penonton mungkin tidak mengetahui bahawa pembikinan sebuah episod BoBoiboy mengambil masa kira-kira satu bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn. Bhd., Mohd. Nizam Abd. Razak berkata, terdapat tiga peringkat utama yang perlu dilalui terlebih dahulu dalam penghasilan siri animasi BoBoiBoy.
“Pada peringkat awal, proses praproduksi perlu dilakukan terlebih dahulu. Kita akan bersama-sama membincangkan mengenai idea, plot cerita, skrip yang sesuai digunakan, penyediaan audio dan kemasukan suara latar.
“Apabila sudah melalui proses praproduksi ini, kita akan meneruskan pula proses produksi yang melibatkan proses lebih rumit seperti modeling watak-watak, pergerakan animasi, rendering, proses audio, pencahayaan dan banyak lagi,” ujar anak muda berusia 28 tahun itu.
Selepas proses produksi, graduan Universiti Multimedia (MMU) itu menjelaskan, mereka akan melakukan post produksi dalam mengemaskini garapan plot cerita untuk memastikan produk akhir menepati kriteria ditetapkan.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan
'Tqvm'